IV
TUJUAN-TUJUAN DAN SIFAT-SIFAT MANHAJ HIDUP ISLAM
Sekarang kita pergi ke perbincangan
seterusnya untuk memahami Manhaj hidup sebagaimana yang telah dituntut oleh
Syari'at. Untuk memahaminya terlebih dahulu kita perlu memahami dengan jelas
terhadap tujuan-tujuan dan dasar-dasar Syari'at.
Tujuan utama Syari'at ialah untuk
membentuk kehidupan manusia atas dasar Ma'rufat (nilai-nilai kebajikan dan
kemuliaan) dan menghindari dari yang mungkar (perkara-perkara yang mendatangkan
dosa dan kerosakan). Istilah Ma'rufat di dalamnya terangkum segala maksud
nilai-nilai kebajikan, kemuliaan dan taraf yang tinggi yang merupakan
nilai-nilai yang diakui baik dan mulia oleh manusia. Sebaliknya, kalimat
Munkarat merangkumi segala maksud dosa dan kejahatan yang senantiasa dikutuk
dan dibenci oleh manusia sebagai kejahatan. Ringkasnya Ma'rufat adalah
nilai-nilai atau perkara-perkara yang serasi dengan tabi'ie dan keperluan
manusia keseluruhannya manakala Munkarat adalah hal-hal yang berlawanan.
Syari'at telah memberikan satu gambaran yang terang dan jelas tentang Ma'rufat
dan Munkarat dan telah menetapkannya sebagai nilai susila yang wajib dipatuhi
oleh individu mahupun masyarakat.
Namun demikian Syari'at tidak pula
membataskan peranannya sekadar untuk menyediakan kita senarai
kebajikan-kebajikan dan kejahatan-kejahatan sahaja; ia meletakkan (garis-garis
dasar) bagi seluruh skema kehidupan manusia demikian rupa sehingga
kebajikan-kebajikan dapat berkembang dengan sihat dan kejahatan-kejahatan tidak
ada kesempatan untuk mencemari dan memusnahkan kehidupan manusia.
Untuk mencapai tujuan ini, Syari'at
telah memasukkan ke dalam Manhajnya semua faktor-faktor yang menggalakkan
pertumbuhan perkara-perkara yang baik dan mengajukan pula langkah-langkah yang
perlu diambil untuk menghadapi dan membolosi rintangan-rintangan yang boleh
menghalang pertumbuhan dan pembangunan. Proses ini menimbulkan satu lagi siri
Ma'rufat yang mengandungi sebab-sebab dan cara-cara menumbuhkan dan memupuk
kebaikan dan satu lagi siri Ma'rufat yang mengandungi perintah-perintah
larangan dalam hubungannya dengan perkara tertentu yang bertindak sebagai
pelindung dan rintangan- rintangan bagi kebajikan itu. Begitu juga terdapat
satu senarai Munkarat yang memungkinkan tercetus dan berkembangnya kejahatan.
Syari'at membentuk masyarakat Islam
dengan satu cara yang dapat membawa pertumbuhan yang lancar bagi kebajikan,
kebaikan dan kebenaran dalam setiap lapangan kegiatan manusia dan memberikan
kebebasan penuh kepada kekuatan kebajikan untuk bergerak dari segenap sudut. Di
waktu yang sama ia merubah dan menjungkir semua bentuk rintangan yang
menghalang jalan menuju kebajikan itu. Bersama-sama dengan ini, ia berusaha
untuk menghapus kejahatan -kejahatan dari hidup masyarakatnya dengan cara
melarang kejahatan- kejahatan; membuang sebab-sebab yang menimbulkannya;
menutup lubang-lubang yang menjadi saluran penularan masuk ancaman dan mengambil
tindakan mengancam supaya terhindar kejahatan yang tidak diingini.
No comments:
Post a Comment