III MANHAJ
HIDUP
Perbahasan di atas memperlihatkan dengan jelas
bahawa Islam memulakan manhajNya dengan meletakkan garis-garis panduan yang
tersusun rapi dan di atasnyalah hubungan manusia dengan Pemiliknya diwujudkan;
seluruh kehidupan diri perseorangan dan masyarakat merupakan pelaksana dalam
membina dan memperkukuhkan hubungan ini. IMAN merupakan titik-tolak kepada Agama
(Ad Din) kita, terangkan di dalam penerimaan hubungan ini oleh akal dan kehendak
manusia dan Islam adalah sebenar-benar kepatuhan dan pengabdian, (yaitu)
satu-satunya cara penyerahan kepada Allah Subhanahu Wata'ala bagi seluruh aspek
kehidupan dan tabiat.
Sekarang kita telah berada di atas kedudukan
yang dapat meninjau pandangan dan manhaj hidup yang dituntut Islam. Manhaj hidup
ini - peraturan-peraturan dalam tindak-tanduk - dikenali sebagai SYARI'AT.
Sumber-sumber Syari'at pula ialah Al Quran Al Karim dan Sunnah Rasulullah
Sallallahu 'alaihi Wasallam.
Kitab Allah yang terakhir dan RasulNya yang
penyudah sedang tegak berdiri sebagai khazanah kepada kebenaran itu dan
kedua-duanya mengundang manusia seluruhnya agar menerima kebenaran. Allah Yang
Maha Berkuasa telah menganugerahkan manusia dengan IKHTIAR atau kebebasan
melaksanakan kehendaknya dalam bidang akhlaq dan dalam hubungan IKHTIAR inilah
yang dikaitkan dengan maksud menerima kebenaran (yakni manusia bebas memilih
kebenaran atau kekafiran kerana kedua-dua mempunyai perbezaan yang jelas).
Dengan demikian penerimaan (kebenaran) adalah atas dasar rela menerima dan bukan
paksaan.
Sesiapa saja yang bersetuju menerima (dengan
ikhlas hati) Konsep Hakikat yang dibawa oleh Rasulullah dan termaktub dalam
Kitab Suci Al Quran itu sebagai benar, maka wajar baginya untuk mara ke hadapan
dan menundukkan kehendak dirinya kepada kehendak dan tuntutan Allah. Penyerahan
tunduk patuh inilah yang dinamakan ISLAM, pancaran dan pembuktian dari IMAN
dalam kehidupan 'amaliyyah dan barang siapa yang berbuat demikian - yakni
sesiapa yang mengikhlaskan dirinya menerima Allah sebagai Pemerintah Tertinggi
dan tunduk patuh kepada kehendakNya yang mulia (kerana manusia wajib memuliakan
kehendak dan peraturan Allah) serta berusaha menyusun atur kehidupan mereka
selaras dengan tuntutan-tuntutan Allah Subhanahu Wata'ala dan itulah golongan
yang digelar Muslim dan Muslimin.
Semua mereka yang tunduk patuh kepada kehendak
Allah dengan cara demikian (secara tidak langsung) menwujudkan satu masyarakat
(yang mempunyai keseragaman dalam asas-asas bertindak) dan dengan cara inilah
'Masyarakat Islam' terbentuk. Demikianlah caranya satu masyarakat yang tegak
atas dasar 'AQIDAH - satu masyarakat yang wujudnya berbeza sekali dari
masyarakat yang diasaskan atas dasar keta'suban bangsa, warna kulit atau
sempadan kenegerian. Masyarakat Islam adalah wujud hasil dari kebebasan memilik
dan kemampuan penglibatan anggota-anggotanya: Inilah hasil (Ikatan setia yang
terjadi antara manusia dengan Penciptanya Yang Maha Agung. Sesiapa saja yang
memasuki 'Perikatan Setia' ini telah mengambil tanggungjawab mengakui Allah
'Azzawajalla sebagai Pemerintah Tertinggi mereka, pimpinanNya sebagai pemimpin
yang paling tinggi bagi mereka dan ajaran-ajaranNya sebagai hukum-hukum yang
mutlak untuk mereka. Mereka juga telah mengambil tanggungjawab untuk menerima
tanpa sebarang soal dan syak meragui tentang pembahagian baik atau buruk, benar
atau salah, dibenarkan (diharuskan) atau diharamkan, yang telah ditetapkan
olehNya.
Dengan kata-kata yang ringkas dapatlah
dikatakan 'Masyarakat Islam' adalah masyarakat yang bersetuju secara sukarela
untuk membataskan kehendak-kehendak mereka sebagai yang telah ditetapkan oleh
Allah, Tuhan Yang Pengetahuan meliputi segala sesuatu. Atau dengan lain
perkataan, Iradah Allah merupakan sumber perundangan yang utama dan bukan
manusia itu sendiri dalam sebuah 'Masyarakat Muslim'.
Apabila masyarakat tersebut muncul menjadi
kenyataan, Al Quran dan Rasulullah telah menetapkan bagi masyarakat ini satu
peraturan hidup yang dinamakan 'Syari'at' dan masyarakat ini dituntut patuh
kepadaNya kerana sebelumnya mereka telah terlibat dalam perikatan setia dengan
Allah. Oleh yang demikian tidaklah dapat dibayangkan bagaimana sesuatu
masyarakat Muslim yang telah memakai gelaran nama yang mulia itu boleh dengan
bebas menerima dan menyesuaikan satu sistem hidup yang lain bagi menggantikan
Syari'at yang telah dikhaskan untuk mereka. Jika terjadi demikian, 'janji setia'
mereka dengan sendirinya (ipso facto) terurai atau terbatal dan seluruh
masyarakat tidak lagi bersifat Islam (La Islamiyyah).
Namun demikian kita mestilah dengan jelas
membezakan antara dosa-dosa dan pelanggaran yang dilakukan oleh individu dengan
perlanggaran-perlanggaran dan penderhakaan yang menyanggah syariah. Yang pertama
tidaklah membawa maksud pembatalan 'ikatan setia' tetapi yang kedua sudah pasti
tidak lari dari maksud yang satu itu (iaitu terbatallah 'ikatan setia' itu).
Satu perkara yang mesti difahami dengan jelas di sini ialah jika masyarakat
Islam secara sedar memutuskan untuk menolak Syari'at dan membuat perlembagaan
dan undang-undangnya sendiri atau meminjamnya dari sumber-sumber yang lain
dengan menolak sama sekali Syari'at, masyarakat itu telah merobohkan ikatan
setia mereka dengan Allah dan telah melepaskan hak mereka untuk digelar sebagai
Islamiyyah atau bersifat Islam.
No comments:
Post a Comment