I QA'IDAH-QA’IDAH DASAR
Allah Rabul 'Alamin - Dialah Pencipta. Penguasa
dan Pemilik alam semesta, mencipta manusia dan menyediakan baginya tempat
tinggal sementara di suatu tempat dari alam jagatnya yang luas yang dikenali
sebagai bumi. Dia telah mengurniakan kepada manusia alat-alat berfikir dan
memahami serta telah mengurniakan kemampuan membezakan antara yang Haq dengan
yang Bathil. Manusia juga telah diberikan kebebasan dengan daya ikhtiar dan hak
memilih malah ia juga diberikan kuasa untuk menggunakan sumber-sumber alam
mengikut cara yang disukainya. Secara ringkas dapatlah dikatakan bahawa manusia
telah diberikan satu kuasa autonomi di samping tugas kekhalifahan yang telah
diamanahkan oleh Allah Subhanahu Wata'ala kepadanya (untuk menjaga dan
memelihara muka bumi ini).
Sebelum mengamanahkan tugas kekhalifahan di
atas muka bumi ini kepada manusia, Allah Subhanahu Wata'ala telah menjelaskan
kepada manusia bahawa Dialah satu-satunya Pemilik, Penguasa dan Tuhan kepada
alam ini. Dengan demikian seluruh isi alam dan segala ciptaan di dalamnya
(termasuk manusia) wajib tunduk patuh hanya kepada Dia sahaja. Manusia mestilah
tidak memikirkan bahawa dirinya bebas tanpa sebarang peraturan dan dia
sepatutnya tahu bahawa tempatnya di atas muka bumi ini bukanlah tempat yang
kekal abadi baginya. Ia ditetapkan untuk tinggal di atas muka bumi hanya bagi
suatu tempoh percubaan yang telah ditetapkan, dan kelak bila tepat tiba pada
masanya ia dikembalikan kepada Pemiliknya untuk diadili sesuai dengan cara mana
ia telah melaksanakan amanahnya dalam jangka waktu percubaan yang telah di
alaminya.
Satu-satunya jalan yang benar untuk manusia
ialah dengan mengakui bahawa Allah Subhanahu Wata'ala satu-satunya Tuhan dan
Pemilik dan kepada petunjuk dan arahannya sahajalah manusia patut mengikutinya
di dalam membina kehidupan. Manusia haruslah menyedari bahawa kehidupannya nanti
akan diadili dan satu-satunya tujuan hidupnya ialah untuk mencapai MARDHATILLAH
(keredhaan Allah) bagi membolehkannya layak menerima balasan baik di Hari
Akhirat. Sebarang sikap dan haluan yang bertentangan dengan perkara di atas akan
membawa manusia kepada kesesatan dan kemusnahan. Sekiranya manusia mengikuti
jalan yang baik, dan taqwa (yang ia adalah bebas untuk memilih dan mengikutinya)
nescaya ia akan mendapati kejayaan di dunia dan di akhirat. Di dunia dia akan
beroleh kehidupan yang aman damai dan puas manakala di akhirat nanti ia
merupakan orang yang layak menerima balasan Syurga Allah (Al Jannah). Dan jika
ia memilih jalan yang lain menafikan dengan peraturan-peraturan Tuhan dan jalan
yang jahat (juga merupakan jalan yang ia bebas memilih dan mengikutinya) nescaya
kehidupan dunianya menjadi kehidupan yang penuh dengan penyelewengan, penipuan,
kefasiqan dan kekecewaan manakala di Akhirat nanti ia ditimpa bala derita, siksa
kepedihan dan rintihan penyesalan yang tidak berpangkal di dalam neraka
Jahim.
Sesudah memberikan peringatan ini, Allah
Subhanahu Wata'ala telah menempatkan manusia di atas muka bumi dan menyediakan
manusia yang pertama (iaitu Nabi Allah Adam dan Sayyidatina Hawa) dengan
PimpinanNya dan manusia mesti menjalani kehidupan di atas muka bumi ini
berpandukan ketentuan dan peraturan yang telah ditetapkanNya. Dengan demikian
kehidupan manusia di atas muka bumi ini tidak dimulai dengan keadaan gelap
gulita.
Manusia yang pertama itu telah disediakan
dengan sinar cahaya yang terang benderang dan Hidayah bimbingan yang membolehkan
manusia mencapai kehidupan yang gilang-gemilang. Manusia yang pertama (iaitu
Nabi Adam 'Alaihissalam) menerima Ilmu Tanzil dari Allah sendiri. Baginda
mempunyai ilmu tentang hakikat dan telah diberikan pula peraturan hidup yang
apabila dipatuhi ia akan mencapai serta menikmati kehidupan yang diredhai dan
berjaya. Peraturan ini ialah Islam, satu sikap tunduk patuh secara menyeluruh
kepada Allah, Dialah Pencipta manusia dan seluruh alam jagat ini. Agama inilah
agama Nabi Allah Adam 'Alaihissalam, manusia pertama yang kemudiannya mewariskan
kepada zuriat keturunannya.
Tetapi generasi-generasi kemudiannya secara
beransur-ansur telah menyeleweng serta menyimpang dari jalan yang benar dan mula
mengambil jalan-jalan dari suara-suara yang salah dan palsu. Disebabkan oleh
kelalaian mereka sendiri, mereka telah kehilangan ajaran-ajaran asli, atau
kerana kebodohan atau kejahilan, mereka telah memalsukan dan memutarbelitkan
ajaran-ajaran tersebut. Mereka menyekutukan (syirik) Allah Subhanahu Wata'ala
dengan manusia, makhluk-makhluk yang tidak bernyawa dan benda-benda khayalan
mereka yang tidak terkira itu sebagai tuhan-tuhan dan dewa-dewa dan telah
memasukkannya dalam bentuk syirik yang paling buruk dan jelek.
Mereka telah mencampuradukkan ajaran-ajaran
suci dari Allah dengan dongengan-dongengan, fikiran-fikiran dan
falsafah-falsafah yang akhirnya menghasilkan belantara agama (bermaksud banyak
agama) dan budaya. Mereka telah membelakangkan prinsip-prinsip etika sosial dan
akhlaq jama’ah yang diberikan oleh Allah, iaitu Shari'at dan mengecewakan hidup
manusia dari kebahagiaan dan kedamaian.
Sekalipun manusia telah tersisih dari landasan
kebenaran, mengabaikan dan memutarbelitkan SYARI'AT, malah terdapat sebahagian
dari mereka yang memberontak terhadap peraturan-peraturan Ilahi. Namun begitu
Allah tetap tidak membinasakan mereka atau memaksa mereka kepada jalan yang
benar. Paksaan untuk mereka menerima jalan yang benar tentu sekali tidak serasi
dengan autonomi yang telah Allah berikan kepada manusia. Sebaliknya Allah telah
mengangkat orang-orang mulia yang tertentu dari kalangan mereka untuk memikul
tanggungjawab memanggil semula dan membimbing manusia ke jalan kebenaran selagi
mereka itu masih memenuhi ruang muka bumi ini. Mereka ini adalah orang-orang
yang beriman kepada Allah dan hidup mereka merupakan hidup yang penuh ketaatan
kepadaNya. Allah telah memuliakan mereka dengan wahyuNya dan memberikan mereka
ilmu tentang Hakikat. Mereka ini dikenali sebagai Nabi-Nabi (Sallallahu 'alaihim
Ajma'in) yang telah diberikan tugas menyampaikan Risalah kebenaran kepada
manusia dan menyeru manusia supaya mengikuti jalan Allah Subhanahu
Wata’ala.
Nabi-Nabi ini dibangkitkan di segala zaman, di
segala negeri dan di dalam semua bangsa. Bilangan mereka melebihi ribuan orang.
Mereka semuanya membawa risalah yang sama, mengutarakan cara hidup yang sama
(Din) - iaitu cara yang ditanzilkan kepada manusia sejak hari pertama kewujudan.
Mereka semuanya mengikuti petunjuk (Hidayah) yang sama: petunjuk yang
dikurniakan oleh Allah untuk manusia sejak hari pertama kehidupannya di atas
muka bumi. Mereka semuanya berjuang untuk risalah yang sama; mereka menyeru
manusia kepada Agama Islam, meminta mereka yang telah menerima petunjuk Allah
supaya menjalani kehidupan mengikut peraturan-peraturan Allah dan berusaha
membawa mereka di dalam satu jama'ah gerakan untuk menegakkan undang-undang
Allah dan mengakhiri penyelewengan-penyelewengan dari jalan
kebenaran.
Setiap Nabi telah berusaha memenuhi tuntutan
risalah ini dengan cara yang sebaik mungkin. Tetapi sebilangan manusia yang
tidak kecil jumlahnya tidak sekali-kali menerima petunjuk mereka dan ramai dari
mereka yang menerimanya pula, secara beransur-ansur sesat menyimpang selepas
masa yang panjang berlaku. Mereka kehilangan petunjuk atau memutar-belitkannya
dengan memasukkan perkara-perkara baru dan
penyelewengan-penyelewengan.
Akhirnya Allah membangkitkan Nabi Muhammad
Sallallahu'alaihi Wasallam di tanah Arab dan mengamanahkan kepada Baginda untuk
menyempurnakan Risalah yang pernah diperintahkan kepada Nabi-Nabi sebelumnya.
Risalah Nabi Muhammad ini adalah untuk seluruh manusia. Baginda mengemukakan
kembali ajaran-ajaran Islam dalam bentuknya yang asal dan sekali lagi memberikan
"Pedoman Hidup" dari Allah yang mereka telah kehilangannya dalam bentuknya yang
asal.
Baginda telah mengumpulkan seluruh mereka yang
telah menerima risalahnya ke dalam satu UMMAH yang bertanggungjawab membangunkan
kembali kehidupan mereka sejajar dengan Islam dengan cara menyeru manusia
kembali ke jalan kebenaran dan untuk menegakkan Kalimatullah sebagai kuasa
tertinggi di atas muka bumi ini. "Pedoman Hidup" ini telah termaktub di dalam
kitab suci Al Quran yang merupakan satu-satunya peraturan hidup yang benar bagi
umat manusia.
No comments:
Post a Comment