|
|
Ketahuilah
bahawa Allah Taala menjadikan manusia ini terdiri daripada dua suatu yang
berbeza iaitu:
Allah
Taala menyusun jasad-jasad dari bahagian-bahagian makanan dan menjaganya dengan
bahagian-bahagian zat makanan yang lebur menyerap ke dalam jasad, menyediakan
asas, menyempurnakan anggota-anggota penting, menentukan anggota-anggota kaki
dan tangan dan melahirkan
jauhar jiwa dari urusan yang tunggal, sempurna menyempurna lagi memberi faedah.
Bukanlah
saya(Imam Ghazali) maksudkan 'jiwa' itu kekuatan untuk mendapatkan makanan;
- bukan kekuatan yang
menggerakkan syahwat (Al-Nafsu) dan kemarahan;
- bukan kekuatan yang
berada dalam jantung(Al-Kolbu) yang melahirkan hidup, menimbulkan rasa dan gerak dari jantung
kepada seluruh anggota, kerana kekutan ini dinamakan 'Ruh Haiwani'.
Rasa,
gerak, syahwat adalah dari tentera Ruh Haiwani ini.
Kekuatan
mendapatkan makanan yang berada dan menguruskan dalam hati(Al-Kabad) dinamakan 'Ruh Tobie.' Pencernaan dan penolakan
adalah daripada sifat-sifatnya. Kekuatan merupa, melahir, menyubur dan
lain-lain kekuatan tobie semuanya menjadi khadam-khadam bagi jasad dan jasad
pula adalah khadam kepada Ruh Haiwani, kerana jasad menerima kekuatan-kekuatan dari Ruh Haiwani dan
bekerja menurut geraknya.
Sebenarnya
yang saya maksudkan dengan 'JIWA' itu ialah JAUHAR YANG SEMPURNA LAGI TUNGGAL (Al-Jauhar Al-Kamil
Al-Mufrad) yang
kerjanya hanya
- mengingat
- menghafaz
- memikir membeza dan
- mengamat-amati; juga
- menerima segala ilmu dan
- tidak jemu-jemu
menerima rupa-rupa abstrak yang bersih dari benda.
Jauhar ini
adalah ketua segala ruh dan raja. Segala kekuatan semuanya berkhidmat kepada
jauhar ini dan menjunjung perintahnya. Jauhar ini tidak lain tidak bukan dari JIWA
BERAKAL (Al-Nafs
An-Naathokoh) yang
diberikan berbagai-bagai nama. Para ahli falsafah menamakan jauhar ini sebagai JIWA
BERAKAL(Al-Naf
An-Naathokah).Al-Quran
menamakannya sebagai JIWA YANG TENANG(Al-Nafsul Mutomainnah). Al-Quran juga menamakannya
sebagai RUH URUSAN (Al-Ruh
Al-Amri). Ahli
Tasauf menamakannya sebagai QALBU(Al-Qalbi). Perbezaan cuma pada segi
nama-nama sahaja tetapi ertinya satu, tidak ada perselisihan. Oleh itu 'QALBU'
dan 'RUH' pada kita juga 'YANG TENANG' semua nama-nama itu adalah bagi 'JIWA
BERAKAL' (Al-Nafs Al-Naathokoh). Jiwa berakal ialah 'Jauhar yang Hidup', 'aktif', lagi mencapai
kalau disebut Ruh Mutlak atau Qalbu. Maksudnya ialah jauhar ini juga.
Ahli-ahli
Tasauf menamakan 'Ruh Haiwani' pula dengan nafsu. Syarak juga memberikan
pengertian yang sama sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud:
"Musuh
engkau yang paling ketat ialah nafsu engkau".
Baginda
bersabda lagi dengan maksud:
"Nafsu
engkau ialah yang terletak di antara dua pihak".
Perkataan
nafsu yang dimaksudkan oleh syarak di sini ialah kekuatan 'syahwaaniah' dan
kemarahan kerana kedua-duanya muncul dari jantung yang terletak di antara dua
pihak(dari tubuh manusia).
Bila kamu
telah faham dan mengetahui perbezaan nama-nama itu ternyatalah bahawa para
pengkaji memberikan nama yang bermacam-macam terhadap Jauhar yang bernilai ini
dan mengemukakan pendapat-pendapat yang berbeza. Para ahli Ilmu Kalam yang
pandai dalam debat menganggap jiwa itu sebagai suatu jisim dan menyatakan
bahawa ia adalah jisim yang halus sebagai tantangan bagi jisim yang tebal ini.
Mereka hanya melihat perbezaan di antara ruh dan jasad dari segi kehalusan dan
ketebalan sahaja.
Sebahagian
dari mereka menganggap ruh sebagi 'aradh. Sebahagian daripada ahli-ahli
kedoktoran cenderung ke arah pendapat ini. Ada pula yang menganggap darah
sebagai ruh.
Mereka
semua merasa puas hati dengan pendapat mereka kerana dipengaruhi oleh
kecantikkan pandangan dan mereka 'TIDAK BERUSAHA' mencari bahagian ketiga
sedangkan sebenarnya ada tiga bahagi iaitu Jisim, Aradh dan 'Al-Jauhar-Al-Mufrad'. Ruh Haiwani ialah jisim
yang halus seolah-olah lampu bernyala terletak dalam kaca jantung. Jantung yang
dimaksudkan di sini ialah rangka sanubari yang tergantung pada dada manusia.
Hidup adalah lampu tersebut,
- Darah ialah minyaknya,
- Rasa dan gerak
merupakan nurnya,
- Syhwat ialah
kepanasannya,
- Kemarahan ialah
wapnya,
- Kekuatan mencari
makanan yang berada di dalam hati merupakan khadam atau penjaganya dan
wakilnya.
Ruh ini
terdapat pada segala binatang. Ruh ini tidak menerima ilmu dan tidak mengetahi
soal yang berhubung dengan alam dan tidak mengetahui hak-hak Pencipta Alam. Ia
hanya merupakan khadam yang terikat. Ia mati bersama dengan matinya badan. Jika
bertambah darah, padam lampu itu kerana bertambah kepanasan dan sebaliknya jika
berkurangan darah, ia akan padam juga kerana bertambah kesejukan. Padamnya
menjadi sebab bagi matinya badan. Tidak ada 'khitob Tuhan' iaitu (perkataan-perkataan Tuhan yang lazim yang dihadapkan kepada
orang-orang mukallaf berhubung dengan perbuatan-perbuatan mereka) dan tidak ada
'takhlif' (pemikul tanggungjawab yang
diamanahkan dari Allah melalui hukum syarak yang lima) tuan punya syarak
terhadap ruh ini. Kerana inilah segala binatang tidak termasuk ke dalam
makhluk-makluk yang menerima 'khitob' dengan hukum-hukum syarak.
Manusia
sebenarnya 'ditakhlif' dan 'dikhitob' kerana suatu makna yang lain terdapat
padanya sebagai suatu tambahan yang dikhaskan untuknya. Maknanya ialah pada
manusia ada 'JIWA YANG BERAKAL' (Al-Nafs-An-Naatokoh), 'RUH URUSAN'(Ruhul-Amri)
dan 'JIWA YANG TENANG'(Al-Nafsul Muthomainnah).
Ruh ini
bukanlah jisim dan bukanlah 'aradh', kerana ia
datang dari urusan Allah Taala sebagaimana firmannya yang bermaksud:
'Katakanlah
hai Muhammad bahawa Ruh itu adalah urusan Tuhanku.
(Surah Al-Israk ayat 85)
Allah
berfirman lagi yang bermaksud:
'Hai
Jiwa yang Tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan redho dan
diredhoi." (Surah Al-Tahrim ayat 12)
Urusan
Allah bukanlah berupa jisim dan bukan pula 'aradh', malahan ia adalah suatu
kekuatan 'ILAHIYAH' seperti 'AKAL YANG PERTAMA' (Al-'Aklul-Awal), Luh dan Qalam. Kekuatan Ilahiyah adalah
Jauhar-Jauhar Tunggal yang bukan dari benda, malah ia merupakan sinar-sinar
abstrak yang dapat difahami oleh akal (Ma'quulah). Bukan boleh dirasa. Apa yang
kita sebut sebagai ruh dan Qalbu adalah dari Jauhar-Jauhar itu. Ia
- tidak rosak
- tidak layu
- tidak binasa
- tidak mati bahkan;
- ia terpisah dari badan
dan menantikan perkembaliaan pada hari kiamat
sebagaimana
yang dinyatakan dalam syarak dan telah disahkan dalam ilmu-ilmu 'HIKMIAH' (Falsafah) dengan
alasan-alasan yang tidak dapat ditolak lagi. Buktinya yang nyata menunjukkan
bahawa 'RUH YANG BERAKAL' bukanlah jisim dan bukanlah 'aradh, malah ia adalah
JAUHAR yang sabit(nyata) lagi kekal tiada binasa. Di sini rasanya tidak perlu
lagi kita menyebut alasan-alasan dan membentangkan dalil-dalil kerana telah
dibuat dan disebut orang. Sesiapa yang mahu mengesahkannya silalah tatap
kitab-kitab yang baik mengenai ilmu ini. Cara kita memberi huraian dalam risalah
ini bukanlah dengan mengemukakan alasan, malah dengan berpegang pada apa yang
telah dialami menerusi 'PENGLIHATAN YANG YAKIN DAN PENGLIHATAN IMAM.' Allah Taala ada
menghubungkan ruh kepada urusan dan kadang-kadang kepada 'IZAH'Nya(zat yang
tiada boleh dicapai dengan akal dan fikiran) dengan firmanNya yang bermaksud:
'Dan
Aku(Allah) tiupkan padanya ruh dariKU' (Surah Al-Hijr ayat 39).
dan
firmanNya lagi yang bermaksud:
'Katakanlah
(hai Muhammad) bahawa roh itu adalah urusan tuhanku' (Al-Israk ayat 85)
dan
firmanNya lagi yang bermaksud:
'Lalu
kami tiupkan padanya dari roh kami.'(Surah Al-Tahrim ayat 12)
Bila roh
itu dihubungkan oleh Allah Taala kepada diriNya tentulah ia bukan jisim atau
A'radh kerana rendah tingkat kedua-duanya, selalu berubah-ubah dan cepat hilang
serta akan rosak. Rasulullah S.W.T. bersabda yang bermaksud:
"Roh-roh
adalah sebagai tentera yang lengkap"
dan dalam
sabda Baginda yang lain lagi Beliau menyatakan:
"Roh
para syuhadah terletak dalam bayang-bayang burung-burung hijau."
Begitu
juga dengan A'radh tidak kekal selepas hilangnya jauhar kerana A'radh tidak
boleh berdiri dengan zatnya sendiri. Manakala jisim menerima peleburan kembali
sebagaimana asalnya sebelum penyusunan dari benda (Al Madah) dan rupa seperti
yang tersebut dalam kitab-kitab (kitab-kitab falsafah).
Setelah
kita mengetahui ayat-ayat, hadis-hadis dan alasan-alasan akal, ketahuilah kita bahawa ruh
itu adalah JAUHAR MUFRAD YANG SEMPURNA (Al-Jauharul Mufrad Al-Kamil) hidup
dengan zatnya, baik dan buruknya agama adalah datang daripadanya, manakala ruh Tobie dan Ruh
Haiwani dan kekuatan badaniah seluruhnya daripada tentara Jauhar Mufrad Yang
Sempurna ini.
Jauhar ini
menerima rupa-rupa maklumat dan hakikat maujudah (sesuatu yang wujud di alam
ini) dengan tidak diganggui oleh ain-ain dan peribadinya kerana jiwa berkuasa
mengetahui hakikat manusia tanpa melihat peribadi (manusia) itu sendiri; begitu
juga ia mengetahui malaikat dan syaitan-syaitan dengan tidak perlu melihat
peribadi-peribadi mereka. Ini adalah kerana kedua-dua jenis makhluk itu tiada
dapat dicapai oleh deria-deria kebanyakan orang.
Satu
golongan ahli tasauf berkata bahawa ' Qalbu ' mempunyai dua mata, serupa juga
dengan dua mata bagi jasad ini. Jasad dapat melihat benda-benda yang zahir
dengan mata-mata zahir dan Qalbu melihat hakikat dengan mata akal. Rasulullah
S.W.T. bersabda yang bermaksud:
'Tiada
ada seorang hambapun melainkan Qalbunya mestilah mempunyai dua mata.'
Dengan
kedua-dua mata ini dapatlah dicapai apa yang ghaib. Bila Allah Taala hendak
memberikan kebaikan kepada hambanya, ia bukakan dua mata Qalbunya supaya dapat
melihat sesuatu yang ghaib dari pemandangan mata lahirnya. Roh ini tidaklah
mati dengan matinya badan kerana Allah Taala menyerunya supaya kembali
kepadaNya dengan firmanNya yang bermaksud:
'Kembalilah
kepada Tuhanmua' (Surah Al Fajr Ayat 28).
Sebenarnya
ruh ini hanya bercerai dan berpaling dari badan. Oleh kerana berpaling ini maka
kakulah segala yang bersangkut dengan kekuatan-kekuatan Haiwaniah dan
Tabii'yah. Maka diamlah yang bergerak itu dan dikatakan kepada yang diam itu,
ialah MATI.
Ahli-ahli
Thorikat atau ahli Tasauf lebih banyak berpegang pada roh dan Qalbu dari
berpegang pada peribadi. Apabila roh itu dari urusan Allah Taala, maka
beradanya dalam badan adalah sebagai orang dagang. Mukanya mengarah pada
asalnya dan tempat datangnya. Ia dapat mengambil faedah-faedah dari pihak
asalnya lebih banyak dari apa yang ia dapat dari pihak peribadi bila ruh itu kuat
dan tidak dikotori oleh kekotoran-kekotoran tabiat.
Bila anda
mengetahui ruh adalah Jauhar Mufrad dan mengetahui pula jasad memerlukan ruang
dan A'Radh maka selain dari ini tidak ada lagi melainkan Jauhar. Ketahuilah
bahawa Jauhar ini tidak menempati pada sesuatu tempat dan tidak mendiami pada
sesuatu ruang. Bukanlah badan adalah ruang bagi ruh dan bukan pula tempat bagi
Qalbu malahan badan adalah alat ruh, alat Qalbu dan kenderaan jiwa. Zat ruh
sendiri tidak bersambung dengan bahagian-bahagian badan dan tidak berpisah
daripadanya bahkan ia menhadap kepada badan, memberi faedah dan melimpah
kepadanya.
Mula-mula
lahir nur ruh pada otak kerana otak tempat kenyataan yang khas.
- Pada bahagian
depannya ia menjadi penjaga
- Pada bahagian
tengahnya ia menjadi menteri dan pentadbir
- Pada bahagian
belakangnya ia menjadi perbendaharaan. Ahli perbendaharaan dan seluruh
bahagian manjadi kakitangan dan kenderaan
- Roh Haiwani menjadi
khadam
- Roh Tobie menjadi
wakil
- Badan menjadi
kenderaan
- Dunia menjadi medan
- Hayat menjadi barang
(modal)
- Gerak menjadi
perniagaan
- Ilmu menjadi
keuntungan
- Hari akhirat menjadi
matlamat dan tempat pulang
- Syarak menjadi jalan
dan cara
- Terhadap jiwa
pendorong kejahatan (nafsu Amarah) menjadi penjaga dan pemerhati
- Terhadap jiwa
pengkritik (nafsu Lawamah) ia menjadi penyedar.
- Pancaindera menjadi
pengikut-pengikut dan pembantu.
- Agama menjadi
penghalang
- Akal menjadi
mahaguru
- Rasa pancaindera
menjadi murid
- Ar-Robh (Allah)
menjadi pemerhati
Jiwa
dengan sifat-sifat ini bersama dengan alat-alat ini tidak mengarah kepada
peribadi yang tebal ini dan tidak berhubung dengan zatnya, malahan ia mengarah kepada
Tuhannya dan Tuhannya memerintahkannya supaya mengambil kesempatan mendapatkan
sesuatu yang berguna hingga kepada satu tempoh yang tertentu.
Oleh itu
ruh tidaklah menumpukan pemerhatian ke arah memikirkan yang lain dalam masa
perjalanan (hidup di atas dunia) ini, melainkan berusaha mencari ilmu untuk
menjadi perhiasan di dalam negeri akhirat. Ini adalah kerana perhiasan harta
dan anak-anak adalah perhiasan hidup di dunia sahaja sebagaimana mata
menumpukan pemerhatian ke arah mendengar suara-suara, lidah siap sedia untuk
menyusun kata-kata, Ruh Haiwani tunduk kepada keenakkan marah, Ruh Tobie
cintakan kelazatam makan dan minum, maka ruh yang tenang (AL-Ruh
Al-Muthomainnah) ertinya Qalbu tidak menghendaki apa-apa selain daripada ilmu dan tidak
gemarkan sesuatupun selain daripada ilmu. Ia belajar dan belajar sepanjang usianya. Ia menghiasi dirinya
dengan ilmu dalam seluruh zaman hingga waktu bercerainya dari badan. Jika ia
menerima sesuatu yang lain daripada ilmu, maka penerimaannya ini cuma untuk
kepentingan badan, bukan untuk kepentingan dirinya dan kecintaan asalnya. Bila anda telah mengetahui
hal ehwal ruh, kekalannya yang berterusan, kecintaannya dan pemerhatiannya
kepada ilmu maka patutlah anda mengetahui pula tentang jenis-jenis ilmu.
No comments:
Post a Comment