Monday, 20 May 2013

BEBERAPA SIFAT IDEOLOGI ISLAM


BEBERAPA SIFAT IDEOLOGI ISLAM

Demikianlah Syari'at telah menetapkan arahan-arahan sebagai peraturan untuk mengatur kehidupan individu mahu pun masyarakat. Arahan-arahan ini merangkumi berbagai-bagai perkara sebagai 'Ibadat khususiyyat, perwatakan diri, akhlaq, kebiasaan, hubungan kekeluargaan, kebajikan sosial dan ekonomi, pentadbiran, hak-hak dan tanggungjawab warganegara, sistem keadilan, undang-undang perang dan damai dan hubungan antarabangsa. Ringkasnya dapatlah disimpulkan bahawa peraturan-peraturan itu merangkumi seluruh aspek pergerakan hidup insan.

Petunjuk-petunjuk ini menjelaskan apa yang baik dan apa yang buruk; apa yang menguntungkan dan bermanfa'at apa yang salah dan yang membinasakan; apalah nilai-nilai kebaikan yang harus kita tanam dan kita galakkan, apakah pula kejahatan-kejahatan yang harus kita perangi dan menyekatnya; apa bidang yang diri perseorangan dan masyarakat boleh turut memberi sumbangan secara sukarela, apa batas-batasnya dan akhir sekali apa pula cara-cara dalam usaha menegakkan satu sistem masyarakat yang dinamik dan apa pula cara-gaya yang harus kita elak. Syari'at sesungguhnya adalah satu peraturan hidup yang sempurna dan merangkumi seluruh aspek kehidupan - tidak ada yang berlebihan dan tidak ada yang berkurangan.

Satu lagi ciri Syari'at yang menonjol ialah ianya adalah satu keseluruhan organik. Seluruh program hidup yang digariskan oleh Islam adalah dijiwai oleh semangat yang sama dan kerananya sebarang pembahagian atau permisahan dari program itu akan mencacatkan semangat mahupun susunan masyarakat Islam. Dalam hal ini ia bolehlah dibandingkan dengan tubuh badan manusia yang merupakan satu system organik. Sebelah kaki yang diceraikan dari badan manusia tidak boleh dipanggil satu per lapan atau satu per enam manusia, sebab selepas terpisah dari badan, kaki tidak lagi dapat menjalankan tugasnya untuk manusia. Malah untuk ditempatkan di badan haiwan lain sekalipun jangan diharap ia dapat berperanan. Begitu juga kita tidak dapat menetapkan satu pendapat yang jelas terhadap penggunaan, kemahiran dan kecantikan tangan, mata dan hidung manusia secara berasingan, tanpa menilai kedudukan dan tugasnya bersama badan manusia yang hidup.

Perkara yang sama dapat dikaitkan dengan program hidup telah dikemukakan oleh Syari'at Islam mengemukakan keseluruhan program hidup dan tidak sebarang bahagian terpisah dari induknya. Oleh itu amatlah tidak wajar satu-satu bahagian atau bahagian-bahagian dari Syari'at itu dipandang secara terpisahpisah antara satu sama lain tanpa melihat keseluruhan sistem yang dikemukakan. Begitu juga tidak akan ada apa-apa faedah sekiranya diterima satu bahagian tertentu dan Syari'at dan dicantumkan pula dengan 'isme atau faham yang lain. Syari'at akan hanya dapat berperanan dengan lancar dan dapat menunjukkan keberkesanannya jika seluruh sistem hidup diamalkan menurut ketentuan yang telah ditetapkan dan bukan sebaliknya.

No comments:

Post a Comment